Persoalan lebih penting dijawab oleh Anwar ialah apakah
pendirian sebenar beliau terhadap keputusan Dewan Ulama PAS itu. Setuju atau
tidak ?
Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat sanggup dan
secara ikhlas memperbetulkan pendiriannya dalam isu ini. Malah beliau sendiri
mempengerusikan mesyuarat syura yang lalu.
Jika bersetuju mengapa sebagai pengerusi Majlis Presiden
Pakatan Rakyat, Anwar tidak dengan secara ikhlas pula berusaha untuk memanggil
mesyuarat khas bagi membincangkan kembali isu ini ?
Lebih-lebih lagi jika beliau benar ikhlas mengatakan
menghormati keputusan Majlis Syura PAS, sudah tentu beliau faham bahawa
inisiatif sebegitu adalah tanggungjawab pengerusi.
Bukankah Anwar orangnya yang memanggil mesyuarat majlis
berkenaan pada 8 Januari lalu ? Ketika itu adalah jelas motif Anwar ialah untuk
mempertegas pendirian Pakatan Rakyat yang diambil pada 2010 berhubung isu ini.
Namun apa yang tidak diduga oleh Anwar ialah Dewan Syura
Ulama mempunyai iltizam dan istiqamah dalam melaksanakan tanggungjawabnya. Isu
kalimah Allah ini dikupas menurut realiti atau waqi’ masyarakat majmuk Malaysia
hari ini.
Undi Kristian Sabah Sarawak diidam PR.
Kini apabila nyata PAS mempunyai keberanian politik dan
pendirian yang syarie, Anwar khuatir ini akan menggencatkan skim politiknya
sendiri. Sebelum ini Anwar melihat isu kalimah Allah boleh melonjakkan
kedudukannya sebagai wira yang memperjuangkan kepentingan rakyat Kristian
Malaysia, terutama di Sabah dan Sarawak.
Sebab itu, Anwar segera memberikan reaksi pada gesaan
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya kerajaan mengizinkan kalimah Allah
digunakan dalam Bible berbahasa Melayu.
Ini kerana, menurut analisis Anwar sendiri, pada pilihan
raya umum ke-12, lima tahun lalu, gabungan DAP, PKR dan PAS sudah berjaya
mengatasi majoriti kerusi Umno-BN di Semenanjung. Namun ia gagal meyakinkan
pengundi di Sabah dan Sarawak hingga menyebabkan ia gagal menawan Putrajaya.
Maka naluri politik Anwar mengatakan jika beliau dapat
menghangatkan impian penganut Kristian berhubung isu kalimah Allah, pasti
peluang diterima sebagai jaguh pengundi Kristian Sabah dan Sarawak akan
mendorong mereka memberi undi kepada Pakatan Rakyat.
Lantas keputusan Dewan Ulama PAS yang bertentangan dengan
strategi ini dianggap sebagai “kacau daun”. Sebab itu, baginya cuma Umno sahaja
yang layak melaksanakan keputusan dewan tertinggi PAS (walaupun ia dilakukan
dengan tujuan menyindir)!
Maka persoalannya ialah, pada pandangan Anwar apakah
sebenarnya nilai pendirian Ulama PAS ? Islami atau tidak ? Lebih tepat lagi
ialah adakah keputusan itu betul atau tidak ? Anwar tidak patut berhujah secara
retorik kononnya beliau tidak pernah mengatakan beliau menolak keputusan Dewan
Ulama PAS itu.
Lebih buruk lagi ialah perangai Anwar yang cuba melempiaskan
“kekecewaan” kepada media yang dituduhnya sebagai alat Umno BN yang cuba
memfitnahnya. Fitnah apakah namanya jika beliau sendiri tidak menjawab
persoalan asas -- adakah beliau bersetuju dengan pendirian ulama PAS ?
Anwar mahu Hadi buat pembetulan ?
Kini yang jelas ialah Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul
Awang yang cuba “ditekan” oleh Anwar. Ketua Pembangkang itu seolah-olah
mengatakan bahawa Hadi yang patut membuat pembetulan jika pendirian PAS benar-
benar sudah berubah. Bagi Anwar itu adalah prosedur.
Persoalannya, ke manakah perginya jatidiri Anwar sebagai
pemimpin Islam suatu ketika dahulu ? Jika beliau menghormati ulama, mengapa
Hadi yang perlu “ditekan” dan diletakkan dalam keadaan serba salah kerana tidak
ikut prosedur ?
Anwar tahu apakah akibatnya jika Hadi tidak melaksanakan
keputusan Dewan Ulama Syura. Di segi politik Anwar seolah-olah mahu Hadi
bersikap “malu-alah” kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat. Ia sebagai satu
cabaran supaya Hadi bersikap tegas.
Maka jika Hadi memilih untuk kekal dengan pendirian 8
Januari, tentu ia akan mencetuskan ketidaksenangan di kalangan ulama. Kedudukan
Hadi tentu tergugat sebagai Presiden PAS.
Sebaliknya, jika Hadi akur kepada keputusan ulama, tentu
penyokong- penyokong Anwar dalam saf kepimpinan PAS sekarang ini akan tidak
senang pula dengan Hadi. Jika itu berlaku, kedudukan Hadi juga kurang selamat.
Apakah Anwar sendiri sebenarnya kurang senang jika Hadi
terus menjadi presiden PAS ? Adakah pemikiran Hadi tidak secocok dengan laras
politik Pakatan Rakyat ?
Anwar lebih senang “menawarkan” Umno mengambil berat
keputusan ulama PAS daripada menyatakan pendiriannya sendiri terhadap cara dan
corak kepemimpinan PAS yang mahu mewakili kepentingan Islam di Negara ini.
Sebenarnya, siapakah yang menggunakan isu agama, tidak kira
Islam mahupun Kristian untuk kepentingan politik ?
Komen
No comments:
Post a Comment