Tuesday, 29 January 2013

Ahli demonstrasi di pejabat DAP?



Kemuncak kemarahan ahli akar umbi DAP berhubung dakwaan berlaku penipuan dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) parti itu terserlah hari ini apabila mereka mengadakan bantahan secara aman di pejabat DAP negeri di Kemayan Square di sini.

Bantahan terhadap penipuan keputusan CEC itu dihadiri oleh beberapa pemimpin DAP cawangan yang sebelum ini telah pun membuat laporan berhubung isu itu kepada pejabat Pendaftar Pertubuhan (ROS) di sini baru-baru ini.

Naib Pengerusi DAP Cawangan Ladang Paroi, David Dass memberitahu, pihaknya tidak akan berganjak daripada terus mendesak parti membersihkan imej yang tercalar selepas terdapat penipuan dalam pemilihan CEC.

"Malah kami sedia dikenakan tindakan oleh pihak jawatankuasa disiplin parti dan biarlah kami terkorban demi memastikan ketelusan dalam DAP dapat dilakukan," katanya ketika ditemui pemberita selepas perhimpunan tersebut.

Jelasnya, tindakan itu bukan disebabkan kerana ada agenda tersembunyi seperti dinyatakan oleh pihak pimpinan parti untuk menghancurkan parti sebaliknya bertujuan memastikan pemilihan yang diadakan lebih telus.

"Kita ingin tegaskan bahawa tindakan yang kami lakukan ini tidak ada agenda tersembunyi. Malah ramai ahli seumur hidup dalam DAP yang berterus terang ikhlas dalam perjuangan parti dan mereka menuntut keadilan dalam pemilihan parti.

"Ada sesetengah pihak dalam pimpinan pusat juga menyokong tindakan kami dan ada juga yang menentang perbuatan kami. Kami sebenarnya sudah bersedia dari segenap aspek termasuklah dikenakan tindakan disiplin parti," katanya

David juga menjelaskan, pemilihan CEC yang dilaksanakan baru-baru ini jelas memperlihatkan parti itu mengenepikan kepentingan masyarakat India dalam kepemimpinan yang kebanyakannya dilantik dan bukannya dipilih oleh ahli parti

"Kita perlu tahu mana singa bertaring dan tidak bergigi. Kalau setakat dilantik, pimpinan parti boleh melantik siapa sahaja yang mereka suka berbanding ahli yang dipilih dalam CEC," katanya.

Ditanya kemungkinan ada ahli DAP yang akan keluar parti kerana membantah keputusan pemilihan CEC, David berkata, perkara itu tidak mungkin terjadi kerana ramai ahli yang sayangkan parti itu.

Jelasnya, perbuatan keluar parti itu bukanlah satu tindakan wajar bagi menyelesaikan krisis memandangkan terdapat saluran betul untuk membersihkan DAP dalam mencari keadilan demi kepentingan ahli parti.

"Sebab itulah kami meminta Pendaftar Pertubuhan (ROS) mempercepatkan siasatan. Tetapi berdasarkan maklumat, kepemimpinan DAP pusat belum menyerahkan laporan dan penyata parti kepada ROS untuk siasatan lanjut," katanya.

Suara Politik
Belantan

No comments:

Post a Comment