Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng sekali lagi enggan mengulas mengenai cabaran Pas untuk berdebat dengannya berhubung isu pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT).

Beliau sekali lagi enggan mengulas ketika mengadakan sidang media di pejabatnya, Komtar di sini semalam.

"Saya tidak akan mengulas perkara itu," katanya ketika ditanya beberapa wartawan yang hadir.

Apabila terus diasak dengan soalan berkaitan isu yang sama, beliau hanya menggelengkan kepala.

Guan Eng kemudian menjawab "ya" apabila salah seorang wartawan bertanya sama ada jawapannya (terhadap isu pilihan raya PBT) ialah "no komen".

Sebelum ini Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke sudah mengeluarkan kenyataan bagi pihak Guan Eng bahawa DAP menolak cabaran itu, namun sehingga kini, tiada respon dari Guan Eng sendiri.

Dalam kenyataan itu, Anthony berkata, tindakan Pas itu dilihat seperti membakar jambatan ikatan kedua-dua parti itu dalam PR.

Menurutnya, tindakan itu juga seolah-olah menunjukkan Pas menganggap DAP sebagai musuh politik dan bukan rakan sekutu dalam pakatan itu.

Guan Eng sebelum ini dilaporkan menamatkan sidang media serta merta selepas melancarkan Café Sains Pulau Pinang di Butterworth apabila media mendesaknya mengulas terhadap cabaran Pas itu.

Kemelut kedua-dua parti itu bermula apabila Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali mencabar Guan Eng sebagai Setiausaha Agung DAP selepas menyerang Pas berhubung isu pilihan raya PBT.

Bagaimanapun, Mustafa meletakkan syarat pertemuan empat mata itu mestilah dilakukan secara terbuka dan disaksikan secara umum supaya orang ramai dapat menilai kejujuran kedua-dua pemimpin politik itu.